1. Mencintai Allah dan Rasul
Melebihi cinta dan ketaatan kepada orang lain.Sabda Rasulullah s.a.w : “Tiga  perkara sesiapa yang memilikinya akan mendapat kemanisan iman:  menjadikan Allah dan Rasulnya lebih di cintai daripada kedua-duanya…
” Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Mencintai Allah dan Rasul dengan mentaati segala suruhan dan larangan syarak.
Sabda Rasulullah s.a.w melalui hadis qudsi:  
“hamba-ku yang  mendekatkan diri kepada-ku dengan melakukan amalan fardu lebih aku  cintai. Sentiasalah hamba-ku berterusan menghampiriku dengan melakukan  amalan sunat sehingga aku mengasihinya. Apabila aku mengasihinya,  jadilah aku pendengarnya yang dia mendengar dengannya, penglihatan yang  dia melihat dengannya, tangan yang dia memukul dengannya dan kaki yang  dia berjalan dengannya, kalau dia meminta kepadaku, pasti aku akan  memberinya dan kalau dia memohon perlindunganku, pasti aku akan  melindunginya” 
Riwayat al-Bukhari.
Termasuk mencintai Rasulullah mengikut dan mencintai baginda dalam setiap perkara Firman Allah s.w.t  
:”Katakanlah  (wahai Muhammad): jika benar kalian mencintai Allah, maka ikutlah  aku,nescaya Allah akan mengasihi kalian, Dan (ingatlah), Allah maha  pengampun; lagi maha mengasihani”:- surah Ali Imran:31
2. Mentaati Ibu Bapa
Sentiasa mentaati ibu bapa dalam perkara makruf menasihati ke arah kebaikan. Jangan menderhaka kepada keduanya.
Firman Allah s.w.t 
“Dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa”- surah al-Israk:23
Sebelum bersuami ketaatan kepada ibu bapa adalah yang lebih utama selepas Allah dan Rasul.
3. Mentaati Suami Dalam Perkara Makruf
Setelah berkahwin ketaatan kepada ibu bapa berpindah kepada suami.  Mentaati dalam perkara yang baik dan harus. Apabila suami menyuruh  kepada maksiat tiada lagi ketaatan.
Sabda Rasulullah s.a.w:
  
“Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Allah”.-
Rasululllah bersabda, 
“Jika diizinkan seorang manusia sujud kepada manusia,tentu aku akan suruh wanita-wanita sujud kepada suaminya”.-Riwayat al-Tirmizi hasan sahih.
Rumahtangga bahagia sebenarnya terletak pada isteri yang solehah. Ia  taat kepada perintah Allah dan Rasul serta setia kepada suami yang  soleh.
“Wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara  diri (tidak berlaku curang serta memelihara rahsia dan harta suaminya )  di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka…” (Surah An-Nisa’:34)
4. Menguruskan rumahtangga
Seorang isteri Muslimah disuruh oleh Allah agar sentiasa berada  dirumah dan tidak boleh pergi kemana-mana sesuka hati tanpa izin suami.  Duduk dirumah bukan bererti hanya berdiam diri sahja tetapi mengerjakan  tugas sebagai isteri.
Hikmah daripada perintah Allah tersebut iaitu, supaya para isteri  dapat menjaga dan mendidik anak secara lebih sempurna ketika suami  mencari rezeki. Masa lapang ia perlu di isi dengan menambah pengetahuan  tentang ugama sebagai bekalan untuk menghadapi ujian hidup pada masa  hadapan dan membimbing keluarga ke arah kebaikan.
Sabda Rasulullah s.a.w  
“Menuntut ilmu wajib ke atas setiap muslim”. Riwayat Ibn Majah Sahih oleh al-Albani dalam 
Sunan Ibn Majah.
 Bijaksana menguruskan hal rumahtangga mendahulukan amalan yang wajib  daripada yang sunat. Amalan sunat dan tanggungjawap kepada suami dan  keluarga perlu didahulukan kewajipan sebagai isteri daripada amalan  sunat yang lain.Sabda Rasulullah s.a.w:  
“Tidak halalbagi wanita berpuasa sedangkan suaminya ada di sisi tanpa keizinannya”.- Fath al-Bari, Kitab al-Nikah.
5. Berhias untuk suami
Menghias diri merupakan kegemaran wanita. Namun kadangkala wanita  yang tidak faham akan kewajipannya,ia berhias diri ketika akan keluar  rumah. Tetapi ketika di rumah ia dalam keadaan tidak bersih. Padahal di  dalam Islam menganjurkan supaya isteri berhias hanya untuk suami.
Sebuah riwayat menceritakan :
  
“Rasulullah s.a.w ditanya tentang  sebaik-baik wanita. Baginda menjawab:Yang menyukakan kamu apabila  memandangnya. Apabila disuruh, dia patuh, menjaga rahsiamu dengan baik  dan menjaga harta kamu”.-
 Riwayat Ahmad dan selainnya dihasankan oleh al-Albani.
Tujuan isteri berhias ketika di rumah ialah supaya suami terhibur.  Jika suami pulang dari tempat kerja dalam keadaan letih dengan melihat  isteri dalam keadaan berseri-seri serta pakaian yang bersih, maka ia  menjadi penawar kepada suami. Sehingga keletihan dalam mencari rezeki  tadi menjadi hilang, dan bertambahlah kasih sayangnya terhadap isteri.
Sabda Rasulullah SAW:  
“Dari Jabir ra. Ia berkata: Kami pernah  pergi bersama-sama Rasulullah di dalam satu peperangan. Ketika kami  sampai ke Madinah, kami ingin masuk ke rumah masing-masing. Maka  Rasulullah SAW pun bersabda: Bersabarlah, iaitu masuklah pada waktu  malam iaitu selepas Isyak, supaya isteri dapat bersikat rambutnya yang  kusut dan supaya ia dapat berhias kerana telah lama telah ditinggalkan  suaminya.” (HR:Muttafaqun Alaihi)
Berhias bukan sahaja bagi menyambut kepulangan suami dari tempat  kerja tetapi juga ketika suami ada di rumah. Wanita Islam hanya boleh  berhias untuk dirinya sendiri dan untuk suaminya. Berhias mestilah  dilakukan secara besederhana , kerana tujuan berhias agar ia kelihatan  bersih dan senang dilihat oleh suami.
6. Berpakaian menurut ajaran Islam
Isteri yang menutup auratnya merupakan isteri yang solehah,
 Allah SWT berfirman, ertinya: “Hai  anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk  menutupi auratmu dan pakaian indah sebagai perhiasan. Dan pakaian taqwa  itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada  tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (Surah Al-A’raar:26)
Wanita solehah perlu memastikan dirinya bersih , kemas dan cantik di  rumah bersama suaminya. Apabila melangkah keluar rumah pakaian yang  dipilih sentiasa memenuhi syarat syarak menutup aurat dengan sempurna.  Dilarang memakai pakaian yang menampakkan susuk tubuh aurat wanita  adalah seluruh tubuh kecuali muka dan kedua-dua tangan hingga ke  pergelangan.
7. Menjaga batas pergaulan
Allah memerintahkan para wanita agar menundukkan pandangan ketika  berhadapan dengan lelaki ajnabi. Jika terdapat sebarang urusan, dia  menjaga batasan yang sepatutnya. Ia perlu bagi mengelakan fitnah.
8. Bersahabat dengan wanita solehah
Seseorang itu dinilai mengikut kawan-kawan yang rapat dengannya. Jika  kawan-kawanya solehah, maka dia juga memiliki sifat yang sama.
Sabda Rasulullah s.a.w : “seseorang itu berada di atas agama kawannya. Oleh itu, perhatikanlah salah seorang kamu siapa kawannya”.-Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi dengan sanad yang Sahih.